Sambungan dari laman ini
Saya rasa saya perlu teruskan penghasilan permainan-permainan minda untuk komputer peribadi. Kini saya sedang menyiapkan permainan cari perkataan tersembunyi bergambar untuk kanak-kanak. Mungkin ia sesuai untuk kanak-kanak yang berusia antara 5 ke 10 tahun.
Selain itu saya juga ada membuat kajian bagaimana untuk membuat penyelesaian dalam permainan Sudoku. Permainan ini sangat menarik minat kerana ia betul-betul menguji minda kita bagaimana untuk menyelesaikannya. Saya juga ada membuat perisian sudoku saya sendiri menggunakan Visual Basic. Saya rasa berpuas hati juga apabila dapat mengorek rahsia-rahsia atau tips bagaimana untuk menyelesaikannya. Buat masa ini untuk puzzle atau susunan permulaan yang mudah telah dapat saya selesaikan menerusi aturcara yang saya hasilkan sendiri. Tapi terdapat juga soalan yang susah di mana dalam keadaan tertentu terdapat lebih dari satu cara susunan dalam puzzle tersebut.
Saya teringat mengenai permainan congkak yang pernah saya hasilkan sebelum ini. Dalam proses menghasilkan 'kepintaran untuk pihak komputer', saya dapati bahawa kita boleh menghabiskan kesemua buah congkak tu dan dimasukkan kedalam rumah kita hanya dengan sekali giliran saja. Saya belum benar-benar pasti, mungkin terdapat salah pengiraan tapi ia telah membuatkan saya berminat untuk mendalaminya.
Contohnya katalah pihak lawan memulakan perjalanan terlebih dahulu. Apabila sampai giliran kita pula membuat perjalanan, kita boleh sapu bersih semua buah dalam kampung tanpa memberi peluang kepada pihak lawan untuk mendapat giliran seterusnya. Dulu saya ingat perkara sebegini tak boleh berlaku dalam permainan congkak ini. Mungkin satu hari nanti saya akan tunjukkan bukti-bukti kukuh bagaimana ia dapat dibuat. Mungkin saya akan hasilkan satu jadual bagaimana susunan pilihan lubang terbaik mengikut giliran untuk mendapatkan pulangan terbanyak yang boleh dicapai atau menghabiskannya terus, dengan kedudukan bilangan buah tertentu di setiap lubang.
Tutorial
Ada juga yang meminta supaya diadakan tutorial atau nota dan sebagainya untuk mereka mempelajari bidang pengaturcaraan ini terutama dalam Visual Basic, HTML, ASP dan Javascript.
Saya pernah terfikir untuk mewujudkan sebuah forum hanya untuk pengguna-pengguna tertentu, tapi hingga ke hari ini ianya belum terlaksana lagi. Jika boleh biarlah forum tersebut telah tersedia dengan nota-nota dan tutorial tertentu untuk para pengguna terbabit. Ini akan lebih memberi kesan dalam teknik perbincangan dan pembelajaran secara dalam talian yang lebih menarik.
coretan seterusnya..