Sambungan dari laman ini
Dunia teknologi maklumat dan komunikasi ini begitu pantas berkembang. Memang tak terkejar dibuatnya. Bagaimana pun saya cuba mengikuti serba sikit perkembangan yang terjadi.
Saya ada menghasilkan sebuah aplikasi untuk menterjemahkan teks yang ditulis dalam bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris. Agak lama juga saya menghabiskan masa untuk mencari terjemahan setiap perkataan dan mencipta algoritma yang sesuai untuk dimasukkan dalam sistem penterjemahan ini. Hasil terjemahannya agak baik tapi tidaklah sempurna seperti yang sepatutnya. Jika anda berminat untuk mencuba sistem penterjemahan ini sila klik di sini.
Walaupun kunjungan pelawat agak ramai di laman web terjemahan tersebut, tetapi ia tidak memberi sebarang pulangan yang berbaloi. Jadi saya memutuskan untuk menghentikan proses kajian sistem penterjemahan itu. Bagaimana pun 'sources code' tetap disimpan dengan baik. Mungkin saya akan sambung semula hasil kerja itu di kemudian hari nanti.
Sebenarnya ada banyak projek yang dihasilkan tetapi tidak disebarkan sepenuhnya. Ada juga projek yang telah dihasilkan dan berfungsi dengan baik tetapi tidak diperkemaskan sepenuhnya. Mungkin ada antara anda yang pernah memasuki laman congkak online dimana para peserta boleh berlawan congkak dengan sesiapa sahaja di dunia menerusi internet atau dengan kata lain menerusi talian. Sila klik di sini untuk melihat laman web congkak online.
Banyak juga perkara yang saya tahu terutama mengenai internet, teknologi semasa dan lain-lain, tapi saya tak pernah mendapat sebarang tawaran untuk menghasilkan laman web atau perisian untuk organisasi, syarikat dan sebagainya. Mungkin disebabkan tidak berusaha tinggi untuk mencari peluang diluar menyebabkan saya tidak pernah mendapat projek sebegitu. Bagaimanapun saya akui ada ramai lagi designer yang lebih hebat dan lebih layak untuk mendapat peluang sebegitu.
Pada masa ini saya bercadang untuk menumpukan perhatian untuk membina permainan untuk handphone. Sebenarnya dari yang diketahui kebanyakan permainan-permainan yang dihasilkan untuk telefon bimbit dibuat dari sistem yang berasaskan bahasa pengaturcaraan Java. Sedangkan saya sebiji habuk tidak mengetahui mengenai Java. Walaupun saya boleh dikatakan pakar dalam VB dan ASP, tetapi bila masuk bab Java hendak bermula belajar dari mana pun saya tak tahu. Semuanya nampak macam mustahil saja untuk mempelajarinya. Bagaimana pun saya akan cuba.
Sebelum ni saya tidak menumpukan perhatian pada Java ni, tapi setelah memiliki Handphone Sony Erickson T610 second hand (tarikh hari ini: 9/12/2005) yang lama punya ni, barulah saya ada perkakas untuk mencuba game-game Java yang terdapat di internet ni. Walaupun ia tak support sepenuhnya seperti Nokia, tapi sekurang-kurangnya adalah juga.
Tetapi setelah membuat rujukan dengan bersungguh-sungguh, akhirnya beberapa perkara mengenai Java dapat saya pelajari. Kini saya semakin yakin dalam satu atau dua bulan lagi, permainan java saya yang pertama mungkin akan disiapkan. Walaubagaimanapun sebagai permulaan saya sedang menghasilkan permainan KosaKata untuk telefon bimbit yang berada dalam jenis yang sama dengan Sony Ericsson T610.
Bagaimanapun saya belum menemui cara terbaik bagaimana untuk mendapatkan hasil dari usaha yang dibuat ini. Saya akan cuba untuk menghubungi penyedia-penyedia kandungan yang banyak diiklankan samaada di akhbar dan TV. Jika mereka merasakan tahap permainan ini mencapai dengan tahap yang mereka kehendaki, mungkin satu berita baik bagi saya tetapi jika sebaliknya maka saya terpaksa mencari cara lain untuk menyebarkannya kepada pengguna telefon bimbit yang berminat.
Sebenarnya saya juga berhasrat untuk menghasilkan aplikasi-aplikasi lain seperti kamus dan sebagainya pada masa akan datang jika ada masa yag terluang.
Kosa Kata java ni sebenarnya boleh dikatakan sudah disiapkan, cuma grafiknya agak ringkas. Saya sebenarnya banyak menghabiskan masa untuk mencari jalan untuk meletakkan nama sekiranya pemain berjaya mencapai markah tertinggi. Fungsi ini saja yang belum dimasukkan dalam permainan ini. Sekarang cuma 2 telefon bimbit saja yang saya masukkan iaitu telefon saya sendiri dan telefon adik saya yang kebetulan jenama Sony Ericson.
Coretan seterusnya..