Perkara pertama sekali yang saya cari setelah mengenali internet ialah mengenai pengaturcaraan menggunakan Qbasic.Agak banyak juga maklumat yang saya temui menerusi browser netscape navigator yang amat popular pada masa itu. Waktu itu saya masih bekerja sebagai technician di Texas Instrument (TI) Ulu Kelang.
Saya terlalu ingin menghasilkan permainan komputer seperti Tetris dan Pac Man. Saya dapati Qbasic amat sesuai dan boleh digunakan untuk menghasilkan permainan seperti itu. Ini yang menyebabkan kesungguhan saya mendapatkan maklumat dan tips sebanyak mungkin mengenai Qbasic memuncak.
Tidak lama kemudian saya mula mengenali Visual Basic. Saya bermula dengan Visual Basic 4. Terdapat 2 buah buku yang saya beli untuk membuat rujukan mengenai perisian ini dengan sepenuhnya. Memang pada mulanya saya rasakan amat susah untuk memahami bagaimana untuk menggunakan perisian VB tersebut.Malah untuk memulakannya juga dirasakan amat sukar dan bagaimana untuk memahami konsep sebenar dan teknik pengaturcaraan yang betul. Bagaimana pun lama-kelamaan setelah membuat latihan dan mendapatkan bahan rujukan samaada melalui buku juga intenet, akhirnya pelbagai perkara mengenai VB dapat saya garap dengan baik.
Antara perisian pertama yang saya hasilkan menggunakan VB ialah Lingo Melayu 6 Abjad. Perisian ini sebenarnya sudah pun saya bangunkan menggunakan Qbasic sebelum itu. Beberapa rakan ditempat kerja pernah bermain permainan ini dan sememangnya memberi kepuasan kepada mereka daripada maklum balas yang diberikan. Idea untuk menghasilkan permainan ini saya dapati setelah menonton sebuah rancangan hiburan berbentuk kuiz di RTM yang dikenali sebagai Lingo.Kuiz tersebut dibuat dalam bahasa English dan menggunakan lima huruf.Daripada situ saya mula berminat untuk menghasilkannya dalam bahasa melayu dan beberapa peraturan ditukar untuk membolehkan permainan dalam bentuk berkomputer dimainkan. Permainan tersebut dibuat berpandukan kepada enam huruf dan oleh itu wujudlah Lingo melayu 6 abjad.
Kemudian saya mula mengetahui bahawa internet sebenarnya bukanlah hanya untuk mendapatkan maklumat dan laman web organisasi besar semata-mata , tetapi kita juga sebagai individu boleh memberikan maklumat dan menghasilkan laman web sendiri untuk di perkenalkan kepada orang lain diseluruh dunia. Saya mengaku saya benar-benar rasa terkejut pada waktu itu. Ini mula saya fahami apabila melihat beberapa laman web yang saya dapati dibuat secara tidak bersungguh-sungguh dan secara tidak langsung saya andaikan bahawa ia bukanlah dihasilkan oleh mereka yang profesional.
Laman web
Sejak itu saya mula mencari maklumat bagaimana untuk menghasilkan laman web sendiri sehinggalah saya bertemu dengan laman web Tripod.Com dimana ia menyediakan server untuk membolehkan setiap individu menghasilkan laman web sendiri secara percuma. Betapa gembiranya saya pada ketika itu tidak dapat saya gambarkan. Emel internet juga mula saya kenali pada waktu yang sama dan hotmail merupakan tempat pertama pendaftaran emel saya lakukan. Sehingga sekarang saya masih menggunakan emel dan server percuma yang sama untuk pengiklanan dan pertukaran mesej mengenai permainan-permainan komputer yang saya hasilkan. Bagaimanapun akhirnya saya berpindah ke server Brinkster.com untuk menempatkan laman web yang dihasilkan. Ini disebabkan laman web Brinkster menyediakan sokongan pada penggunaan skrip ASP. Ini sekaligus membolehkan laman web dihasilkan secara lebih interaktif menerusi imaginasi dan keperluan sendiri.
Pada waktu itu , dalam masa yang singkat terlalu banyak perkara yang saya pelajari mengenai internet seperti saya mula mengetahui HTML , javascript ,imej animasi gif , server script dan kemudiannya Flash serta lain-lain teknologi yang berkaitan. Gelombang maklumat yang perlu saya capai terlalu banyak sehingga beberapa teknologi yang dikatakan berkuasa dan mendapat tempat terpaksa saya abaikan seperti Java , sistem operasi Linux dan beberapa perkara lagi yang saya rasakan agak kompleks dan tidak memberi impak kuat kepada perkara yang ingin saya usahakan. Bagaimanapun dari masa kesemasa saya cuba juga untuk mendekatkan diri dengan perkara-perkara tersebut sebagai ilmu dan pengetahuan sampingan yang mungkin boleh diguna pakai dalam perkara yang ingin saya hasilkan pada masa akan datang.
Selain dari pembelajaran mengenai teknologi berterusan yang saya dapati dari internet , perkhidmatan yang disediakan dari beberapa pihak juga banyak mempengaruhi keinginan saya untuk terus mendekatkan diri dengan sumber ilmu ini.Pengiklanan percuma merupakan satu lagi tarikan yang kuat bagi peminat internet. Beberapa laman web contohnya Cari.com.my dan lelong.com.my menyediakan perkhidmatan pengiklanan percuma dimana pengguna hanya perlu menuliskan barangan yang ingin dijual/dibeli kedalam 'form' atau borang yang disediakan dengan mudah untuk dipaparkan di khalayak umum. Saya juga pernah beberapa kali berurusan menggunakan ruangan seperti ini.
Saya juga sedar terdapat teknologi komunikasi internet yang lebih dikenali sebagai ‘chatting’ atau sembang mula mendapat tempat dan tersebar dengan meluas. Bagaimanapun kesempitan masa untuk sentiasa terpaku dihadapan komputer menyebabkan pendedahan saya kepada teknologi tersebut agak tertutup. Bagaimanapun menerusi perbualan dengan rakan-rakan saya dapati ia bukan saja memberi menafaat yang besar tetapi juga keburukan yang bukan kecil impaknya.
Membuat duit dengan internet
Seperti biasa sudah tentu kita ingin mendapatkan ganjaran daripada ilmu internet yang telah kita ketahui. Saya mula mencari-cari cara yang sesuai untuk mencari sedikit pendapatan melalui internet. Didapati terdapat beberapa syarikat menyediakan ruang untuk memperkenalkan iklannya dengan mendaftar dengan mereka. Bagaimanapun kebanyakannya hampa. Hanya sekali saja saya pernah mendapat cek dari Spedia.com berjumlah $27 = RM 102.00. Selepas itu ,hampa walaupun dah banyak ‘point’ yang saya kumpulkan. Dalam pada itu saya masih lagi meneruskan membuat permainan-permainan komputer mudah dan dijual menerusi internet. Alhamdullilah , ada juga yang mampu membelinya dan terima kasih banyak-banyak. Walaupun tidak seberapa tapi lepaslah untuk bayar bil elektrik dan isi minyak motor berulang kerja.
Ada juga yang meluahkan rasa kurang berpuas hati kerana permainan yang dihasilkan tidak diberi secara percuma seperti kebanyakan game yang dihasilkan oleh orang lain. Malah cubaan yang diberikan juga amat terhad. Pertama sekali saya meminta maaf kerana tidak mampu untuk memberinya secara percuma. Pendapatan yang saya perolehi sebagai technician pada masa sekarang belum cukup untuk menampung keperluan kami sekeluarga. Insyaalah , jika saya telah mendapat pekerjaan yang sesuai terutama dalam bidang pengaturcaraan dengan pendapatan yang mencukupi , saya akan sebarkan permainan-permainan ini secara percuma kepada umum. Memang itu tujuan saya sejak dari mula.
Forum
Tentu ramai yang menyedari tentang kewujudan forum-forum diinternet dimana setiap individu boleh bertukar pendapat sesama sendiri malah dikongsi bersama dengan orang lain. Ia lebih kurang sama dengan teknologi ‘ruang sembang’ tapi tidak terkongkong dengan masa. Ia sangat bermenafaat terutama untuk berkongsi maklumat dan mendapatkan idea serta pendapat berbagai individu dalam sesuatu isu. Anatara ruang forum yang selalu saya masuk pada masa ini ialah seperti di ITTutor.net , Sifoo.com,Cari.com.my dan Putera.com. Saya juga menggalakkan anda semua untuk menyertai ruangan forum seperti ini untuk menambahkan pengetahuan dan boleh juga membantu insan lain yang memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar. Menerusi ruangan forum ini juga anda boleh mendapatkan kenalan baru dan menjalinkan silaturrahim sesama kita. Saya amat tertarik sekiranya terdapat perdebatan ilmu dikalangan ahli-ahli forum yang sedikit –sebanyak dapat mengajar kita mengenai erti kebenaran , prinsip dan rasional disebalik kenyataan yang dibuat.
Banyak pengetahuan baru yang saya dapati dari forum-forum seperti ini.
Enjin Carian
'Search Enjin' atau enjin carian adalah tempat untuk memudahkan kita mencari maklumat yang dikehendaki disekitar internet ini.Google merupakan tempat yang sesuai untuk membuat carian selain dari Yahoo ,Msn dan beberapa tempat lagi. Jika anda menaip ‘permainan komputer’ dan klik pada 'search', laman web yang saya hasilkan akan terpapar ditempat teratas di 'search engine' tersebut.
Coretan seterusnya..